nuffnang

Tuesday, November 30, 2010

Namewee Akan Jadi Lebih Besar Kepala...

Kita merasa amat terkejut, kecewa dan amat marah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, menyatakan kerajaan tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas Namewee kerana tidak melakukan sebarang kesalahan kepada kerajaan!

Sudah berbulan-bulan dan desakan demi desakan dibuat oleh pelbagai pihak untuk tindakan ke atas pemuda ini yang celupar dan beraksi 'kurang ajar' menjatuhkan maruah seorang pengetua sekolah dan juga memperlekehkan Kementerian Pelajaran!

Setelah menunggu sejak sekian lama, ini sahaja jawapan 'terbaik' yang boleh diberi oleh seorang menteri kanan. Amat mengecewakan.

Kita ingin bertanya menteri berkenaan, apakah memperlekehkan Kementerian Pelajaran dan sebelum ini mempermainkan lagu Negaraku, mempersendakan azan Subuh dan sebagainya itu tidak melibatkan kerajaan dan sensitiviti perkauman?

Dengan keputusan kerajaan ini telah menjadikan Namewee dan yang serupa dengannya bertambah besar kepala! Bagi pemuda lulusan Taiwan ini adalah satu kemenangan dan siapa yang berani menyekat kreavitinya?

Adakah generasi muda yang 'kurang ajar' dan tidak menghormati perasaan kaum lain sebegini yang kita mahu tonjolkan dan pupuk dalam wawasan 1 Malaysia? Apakah keistimewaan pemuda dari Muar ini? Kita berpandangan sebarang keputusan yang dibuat seharusnya berlandaskan fakta kes.

Kita juga kadang-kadang tertanya-tanya jika sekiranya kesalahan ini dilakukan oleh pemuda Melayu, adakah tindakan yang sama akan diambil? Atau pendakwaan akan terus dibuat tanpa memberi peluang memohon ampun dan maaf?

Kita tidak mahu pendakwaan dibuat secara terpilih seperti beberapa isu sebelum ini seperti isu 'kepala lembu' dan berpuluh-puluh laporan polis yang telah dibuat berkenaan mempersendakan Perlembagaan Persekutuan.

Apakah isu yang melibatkan orang Melayu dianggap tidak penting, remeh dan boleh ditangguhkan? Tindakan segera pula perlu diambil jika melibatkan kaum Cina dan India? Kita juga amat menyokong tindakan PERKASA yang membawa isu -isu ini ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Dengan keputusan kerajaan ini, kita juga tidak mahu akan ada berpuluh-puluh lagi Namewee selepas ini dengan aksi dan kata-kata lucah sesuka mereka sahaja kerana tiada tindakan. Orang Melayu pula akan merasa kecewa dan seolah-olah dipinggirkan.

...Sharial Omar Al-Munsyi
    Rawang, Selangor.

Nazri Pertahan Kenyataan Namewee Tak Bersalah

KUALA LUMPUR 29 Nov. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tetap mempertahankan kenyataannya bahawa Wee Meng Chee atau Namewee tidak melakukan kesalahan terhadap kerajaan dan melanggar undang-undang yang membolehkan dia diambil tindakan kerana mendakwa kenyataan itu dibuat setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

Menurutnya, reaksi kurang senang ditunjukkan sesetengah pihak terhadap kenyataan beliau itu berkemungkinan disebabkan mereka tidak memahami undang-undang atau dipengaruhi emosi sehingga meminta kerajaan tetap mengambil tindakan terhadap Namewee kerana mendakwa video itu mempunyai unsur hasutan.

"Dalam perkara sebegini, kita tidak boleh beremosi dan perlu melihat setiap kesalahan itu secara spesifik tanpa mengaitkannya dengan kesalahan yang lain.

"Untuk kita kata dia mesti ada kesalahan lain sehingga boleh didakwa, itu sudah semacam kita ada masalah peribadi dengan dia. Sebagai pengamal undang-undang kita perlu profesional dan tidak mengambil sesuatu secara peribadi," katanya kepada Utusan Malaysia di pejabatnya di Parlimen di sini hari ini.

Kelmarin, beliau dalam satu kenyataan memberitahu, Namewee melalui klip video terbarunya mencerca dan menunjukkan isyarat lucah yang ditujukan kepada pengetua sebuah sekolah di Kulai, Johor dan ia merupakan kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM).

Disebabkan itu, mengikut akta tersebut katanya, hanya mangsa iaitu pengetua sekolah dalam kes ini yang boleh mengambil tindakan undang-undang ke atas Namewee.

Sebagai mengulas kenyataan menteri itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) melalui Setiausaha Agungnya, Dr. Hassan Mad menzahirkan rasa terkejut kerana menganggap video itu mempunyai unsur-unsur hasutan yang membolehkan Namewee didakwa.

Mohamed Nazri menambah, meskipun terdapat kritikan ditujukan kepada Kementerian Pelajaran, namun ia tidak menjadi masalah kerana negara ini mengamalkan kebebasan bersuara.

"Kalau dia kritik saya sebagai seorang menteri, tak kan saya hendak ambil tindakan? Tiada tindakan boleh diambil kecuali jika dia melanggar undang-undang negara.

"Kalau ada mana-mana pihak yang rasa cerdik, pergilah nasihatkan Peguam Negara di bawah akta manakah undang-undang boleh diambil ke atasnya. Pejabat Peguam Negara sudah tengok klip video itu dan berbincang tetapi tiada tindakan boleh diambil. Itu hakikatnya," ujarnya.

Mengenai klip video negarakuku yang lebih awal dihasilkan Namewee, beliau memberitahu masih belum menerima apa-apa makluman daripada Pejabat Peguam Negara.

Namun beliau terlebih dahulu memberitahu bahawa tindakan tidak dapat diambil di bawah Akta Hasutan kerana apa dilakukan itu bukan hanya mendatangkan kemarahan kepada kaum Melayu sahaja malah rakyat Malaysia berbilang kaum.

"Kita tak boleh ambil tindakan di bawah akta hasutan kerana apa dilakukan itu sebenarnya mendatangkan perasaan marah bukan hanya pada sesuatu kaum tetapi pada semua kerana negara ini bukan hak orang Melayu.

"Kalau negara hanya hak orang Melayu dan dia hina negara, itu mungkin menghasut dan bersifat perkauman tetapi di sini ia tidak menjadi isu perkauman kerana negara ini hak rakyat Malaysia berbilang kaum," katanya.

Ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama masa diperlukan untuk mengambil tindakan terhadap klip video negarakuku, Nazri menegaskan: "Peguam Negara belum maklumkan apa-apa lagi. Saya tunggu nasihatnya.

"Saya pun tidak tahu mungkin ada akta menghina lambang-lambang Malaysia yang membolehkan tindakan diambil tetapi di bawah Akta Hasutan, ia jelas tidak kerana Negaraku bukan hak orang Melayu sahaja.

"Sebagai menteri yang menjaga undang-undang, saya tidak kira siapa. Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan, saya tetap akan ambil tindakan jika dia bersalah. Undang-undang tetap perlu ditegakkan," tegasnya.

...utusan

Sunday, November 28, 2010

Wanita Terlihat Seksi Kerana Alasan Ini!

SETIAP wanita terlahir dengan kecantikan yang berbeza-beza. Itu sebabnya lelaki menyukai wanita dengan karakter yang berbeza.

Di mata lelaki, wanita merupakan makhluk seksi yang selalu dikagumi dan dipuja. Namun tahukah anda, bahawa ada empat perkara yang dinilai sangat menyokong kaum hawa terlihat begitu seksi menurut lelaki.
Mau tahu apa saja? Ini jawapan yang ditapis dari DatingTips:

Kerjaya
Menurut lelaki, di saat seorang wanita bergairah terhadap sesuatu dan memiliki sebuah kepentingan atas hal tersebut, seperti kerjaya, ini membuat mereka kelihatan sangat seksi. Ada pula yang mengatakan bahawa wanita tidak perlu menghasilkan satu tan wang dengan karier mereka yang cemerlang, melainkan jika mereka tetap menyokong dirinya sendiri untuk terus maju dan berkarya, dan menghabiskan waktunya untuk melakukan sesuatu yang ia gemari, ini merupakan sebuah kemajuan yang ingin terus semua kaum hawa.

Menjadi seorang pemimpin
Wanita akan terlihat semakin seksi ketika mereka menjadi seorang pemimpin. Ketika seorang wanita berkata, "Mari kita melakukan ini" atau "Mari kita pergi ke sana" menurut pendapat lelaki, ini menunjukkan sebuah rasa kepercayaan diri yang tinggi dan mereka kelihatan berani mengambil risiko dalam setiap keputusan yang diambil. Juga terdengar sangat "hot" saat seorang wanita bersama sahabat-sahabatnya tengah membuat sebuah rencana yang hebat, di mana pastinya semua orang akan mengikuti arahan sang pemimpin.
Sikapnya yang hangat
Untuk anda, para wanita penting untuk diingat bahawa kaum adam begitu menyukai saat ketika pendapat anda terdengar, terutama jika anda tidak setuju akan suatu hal. Banyak juga yang beranggapan, berdebat dengan kaum hawa adalah sesuatu yang seksi. Terutama pada saat wanita menjelaskan bahawa pendapat lelaki adalah salah, dengan cara mereka yang sangat mengagumkan. Hal ini juga dilihat seksi oleh lelaki.

Memasak
Tidak hanya sebagai tugas kaum hawa, melainkan kegiatan memasak pun mampu membuat seorang wanita makin tampak seksi. Tidak percaya? Ya, anda tidak perlu tampil glamor untuk terlihat seksi. Justeru lelaki lebih senang melihat anda di dapur dan memasak sesuatu untuknya, bahkan jika dia hanya membuat sebuah sandwich sekalipun. Itu sangat bermakna untuknya, dan sangat terlihat seksi di mata mereka. Siap membuat lelaki terkagum dengan keseksian yang anda miliki?

...Dewi Arta - Okezone

Friday, November 26, 2010

Blogger Umno Luah Perasaan

KUALA LUMPUR, 26 Nov. : Penulis blog UMNO yang hadir dalam program yang dianjurkan oleh Kementerian Penerangan di Shah Village Hotel melihat bagaimana penulis-penulis blog handalan UMNO menyuarakan kekecewaan kerana usaha mereka dalam mempertahankan UMNO tidak dipandang oleh kepimpinan UMNO.

Yang mengecewakan bagi mereka adalah UMNO menyalurkan bantuan kepada mereka yang salah – tidak menjurus kepada penulis dan pemilik laman blog yang baik dan ramai pembaca.
Penyaluran bantuan dibuat oleh UMNO secara membuta tuli – lebih kerana pemberian kepada kronis yang tidak menyumbang tenaga untuk berada di barisan depan mempertahankan UMNO.

UMNO masih leka sehingga ada “bloggers” yang mengatakan bahawa dia kecewa dan benci dengan perangai sesetengah kepimpinan UMNO yang masih tidak sedar apa yang berada di depan mereka.

Kepimpinan ini patut disingkirkan – kerana mereka gagal melihat kedudukan sebenar UMNO dan gagal menyedari hakikat yang ada masa kini.

Program yang sebenarnya mahu membincangkan peranan media arus perdana dan bloggers dalam menuju kepada tuntutan demokrasi yakni pilihan raya menjadi medan untuk bloggers UMNO menyuarakan kekecewaan mereka.

Kekecewaan ini lebih memuncak kerana ada kepimpinan UMNO yang dikatakan menyalah salurkan dana bantuan yang sepatutnya di terima oleh bloggers UMNO tetapi tidak.

Kegusaran bloggers UMNO adalah kapasiti dan kemampuan mereka semakin berkurangan. Mereka terpaksa melakukan kerja-kerja mempertahankan UMNO dengan kedudukan yang daif sedangkan UMNO mampu membantu.

Selain dari itu bagi mereka UMNO masih gagal melihat diri, membuat penilaian diri untuk memacu kemenangan. Nasihat demi nasihat diberi tetapi kepimpinan yang bertanggungjawab hanya kaku dan beku.

UMNO bagi mereka masih tidak sedar. Dalam kemelut suara kekecewaan itu – timbul satu kenyataan kuat oleh salah seorang bloggers – jangan salahkan saya sekiranya akhirnya saya tidak mengundi – kerana saya tidak mahu memberi undi kepada mereka yang buruk – gagal melihat kepentingan perjuangan UMNO secara total, gagal memperakui keperluan media baru dan hanya mementingkan diri dalam UMNO.

Kami bloggers tidak akan menerima kepimpinan tersebut dan seharusnya menjadi tanggungjawab kami membersihkan mereka diri terus memimpin UMNO dan akhirnya merugikan UMNO.

Sumber dari : http://paspb2.blogspot.com

Jambatan Ganti Tambak Johor Perlu Kajian

JOHOR BAHRU 25 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa kerajaan perlu mengkaji secara mendalam saranan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar perlunya jambatan baru dibina menggantikan Tambak Johor.

Perdana Menteri berkata, pembinaan jambatan baru itu perlu dikaji secara terperinci kerana ia memberi banyak implikasi dalam beberapa aspek termasuk perundangan dan kos.

"Kita kena kaji dulu (pembinaan jambatan baru) sebab banyak implikasi dari segi perundangan, kos dan obligasi kerajaan Pusat dan kerajaan Singapura," katanya ditemui selepas merasmikan kilang Asiaflex Product milik Technip Malaysia Sdn. Bhd. di Tanjung Langsat, Pasir Gudang dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Technip Malaysia, Bernard di Tullio; Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksektutif Technip Malaysia, Therry Pilenko.

Perdana Menteri diminta mengulas saranan Sultan Ibrahim baru-baru ini yang berharap kerajaan Pusat tetap mempertimbangkan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor yang merentasi Selat Tebrau menghubungkan Johor dengan Singapura.

Sultan Ibrahim dalam titah baginda sempena sambutan ulang tahun keputeraan baginda ke-52 Isnin lalu mengulangi hasrat baginda supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan jambatan baru itu untuk menggantikan Tambak Johor.

Baginda berpendapat, jambatan baru itu bukan sahaja akan memudahkan lebih 250,000 rakyat negara ini yang kini bekerja di Singapura untuk berulang-alik setiap hari, malah memudahkan rakyat negara jiran itu melancong ke Malaysia.

Sebelum ini, Sultan Ibrahim telah beberapa kali melahirkan hasrat tersebut kerana menurut baginda, jambatan baru itu amat penting kepada rakyat kedua-dua negara.


Jambatan ganti Tambak Johor

JOHOR BAHRU 25 Nov. - Pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor wajar dibina secara usaha sama antara Malaysia dan Singapura bagi mencerminkan keakraban antara kedua-dua negara.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Seri Shahrir Abdul Samad berkata, usaha sama antara kedua-dua negara pernah dilakukan apabila Malaysia dan Singapura berjaya membina Linkedua yang menghubungkan Gelang Patah di Johor dan Tuas di Singapura.

"Pembinaan Linkedua itu modalnya dibiayai oleh kedua-dua kerajaan dan kini jambatan itu memberi manfaat kepada seluruh rakyat negara ini dan negara itu.

"Oleh itu saya yakin, bukan mustahil untuk mewujudkan kerjasama dengan Singapura bagi membina jambatan yang sempurna bagi menggantikan Tambak Johor kerana kita telah membuktikan kerjasama yang cukup baik semasa pembinaan Linkedua," katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mengulangi hasrat baginda dan seluruh rakyat Johor supaya pembinaan jambatan menggantikan Tambak Johor yang menghubungkan negeri itu dengan Singapura diteruskan.

Pada istiadat sambutan ulang tahun keputeraan baginda yang ke-52 Isnin lalu, Sultan Ibrahim bertitah, pembinaan jambatan berkenaan bukan sahaja memberikan keselesaan kepada rakyat Johor yang berulang alik ke Singapura malah menjadi kemudahan bagi rakyat negara itu melancong ke negara ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Laut, Mok Chek Hou berkata, hasrat Sultan Ibrahim yang mengulangi supaya jambatan baru dibina bagi menggantikan Tambak Johor memang ada kewajaran dan menjadi keperluan antara rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata, sebagai ADUN Stulang yang dapat melihat setiap hari kesulitan yang dihadapi oleh kira-kira 250,000 rakyat negara ini yang berulang alik ke Singapura sedikit sebanyak dapat merasakan kesukaran dan keperitan mereka.

Malah sebagai wakil rakyat beliau sering 'dihujani' dengan aduan rakyat mengenai kesesakan Tambak Johor yang kini tidak lagi mampu menampung keperluan semasa.

"Oleh itu, saya yakin dengan kewujudan jambatan itu kerana ia akan melancarkan komunikasi dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara," katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa MCA Johor berkata, jambatan baru itu juga membolehkan kapal kecil dan sederhana merentasi Selat Tebrau.

Kewujudan jambatan itu boleh menjadi daya tarikan pelancong apabila dianjurkan pelbagai acara sukan laut di kawasan selat berkenaan, katanya.

Sementara itu, ADUN Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman turut mengalu-alukan titah Sultan Ibrahim itu dan berharap rundingan menggantikan Tambak Johor dengan jambatan baru diadakan dengan kadar segera.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tebrau yakin pembinaan jambatan baru itu akan mengubah landskap bandar raya ini khasnya di Tanjung Puteri menjadi lebih 'hidup' serta membolehkan aliran air di Selat Tebrau menjadi bersih dan indah.

"Keindahan itu boleh dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti sukan laut yang boleh menarik pelancong dan mengukuhkan kedudukan ekonomi kedua-dua negara.

"Dalam suasana yang agak 'harmoni' saya menaruh keyakinan pemimpin kedua-kedua negara sedang memikirkan kaedah terbaik untuk merealisasikan hasrat Sultan Ibrahim kerana pada penghujungnya jambatan itu akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.


‘Jambatan Bengkok’ Tiada Implikasi Undang-Undang - Tun M

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pembinaan jambatan baru ke Singapura tidak akan melibatkan implikasi undang-undang jika ia menggunakan kaedah ‘jambatan bengkok’ yang pernah dicadangkan sebelum ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia kerana model ‘jambatan bengkok’ itu langsung tidak mendapat bantahan daripada republik itu.

Beliau turut percaya keyakinan rakyat Johor yang marah sehingga menyerahkan enam kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada pembangkang pada pilihan raya 2008 akan dapat dikembalikan dengan pembinaan jambatan baru.

...utusan malaysia

Thursday, November 25, 2010

Kenapa Kebolehan Pakar Sendiri Diabai

Hasrat belajar tanam pokok dengan Singapura ‘melucukan’
SAYA tersenyum lebar apabila membaca sebuah berita Khamis lalu bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berhasrat menghantar satu rombongan ke Singapura bulan depan untuk mempelajari bagaimana republik itu menanam dan memelihara pokok di kebanyakan jalan rayanya hingga diiktiraf sebagai satu-satunya bandar raya ‘terhijau’ di dunia.

Ini adalah bagi memenuhi hasrat kementerian itu untuk menanam sehingga 30,000 pokok di seluruh bandar raya bagi mengembalikan kedudukannya sebagai sebuah bandar raya yang mempunyai banyak pokok di sepanjang jalan dan menjadikannya lebih selesa untuk warga mahu pun pengunjungnya.

Lama dulu ibu kota memang sudah dikategorikan sebagai sebuah bandar terhijau tetapi oleh sebab kerakusan pemaju yang mengambil jalan mudah menebang semua pohon dalam kawasan yang hendak dimajukan, keadaan sudah berubah. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sendiri pun ketika itu langsung tidak prihatin dan mengambil kisah terhadap tindakan melampau pemaju. Maka Kuala Lumpur pun kehilanganlah statusnya itu dan kini mereka mahu belajar daripada Singapura pula untuk mengembalikan kedudukannya itu. Melucukan kerana Kerajaan Singapura mengambil kakitangan Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Hutan ke Jabatan Landskapnya untuk membiakkan pelbagai tanaman hutan yang mereka beli daripada syarikat semaian di Johor. Kini republik itu telah pula mengeksport anak benih tanaman itu termasuk anggerik, pelbagai jenis palma yang sukar diperoleh, halia dan pelbagai tumbuhan lain.

Apakah sekarang ini kita tidak lagi mempunyai pakar itu? Bukankah kita sememangnya mempunyai bercambah pakar pohon dalam pelbagai bidang disiplin malah mempunyai profesor bidang pembaik biak pokok serta profesor dalam bidang pengurusan taman dan rekreasi di Universiti Putra Malaysia (UPM), selain dari pakar mengenai hutan dalam bandar juga di UPM.

Universiti awam lain khususnya yang sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidik juga mempunyai pelbagai macam pakar bidang tumbuhan dan hutan. Yang menghairankan kenapa pakar kita ini diabaikan? Apakah hanya apabila negara lain yang mengetahui wujudnya pakar ini dan mendapatkan khidmat mereka barulah kita sibuk hendak membawa mereka kembali?

Maka ditubuhkan Perbadanan Bakat (Talent Corporation) dengan peruntukan besar untuk mengembalikan pakar kita yang bertugas di luar negara. Anehnya antara mereka ini adalah pelajar yang diasuh dan ditunjuk ajar oleh profesor kita sendiri yang kini sudah bersara dan duduk di rumah tanpa siapa pun mengambil kisah terhadap mereka atau mahu menggunakan kepakaran yang tetap berada dengan mereka itu.

Apakah pakar ini tidak boleh dirujuk mana-mana agensi berkepentingan? Mereka bukannya sudah nyanyuk dan belum pun mencecah 70 tahun. Kalau pun sudah berumur 70 tahun apakah mereka yang masih berfikiran segar tidak boleh dijadikan sebagai pakar rujuk demi kepentingan negara?

Apakah hanya apabila kepakaran mereka ini diiktiraf luar negara barulah kita membuka mata? Inilah dia keadaannya, gajah di depan mata tidak nampak tetapi kuman di seberang jelas kelihatan.

Seorang Prof Emeritus yang pernah bertugas lama dengan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di luar negara memberitahu beberapa perlakuan yang jelas menunjukkan bagaimana negara asing mudah memperakui pakar kita dan menikmati hasil daripadanya tetapi negara sendiri mengabaikan mereka itu.

Pada suatu ketika dulu kita bekerjasama rapat dengan Kerajaan Australia mengenai buah-buahan kita. Kita pun menerima dana penyelidikan termasuk bantuan lain daripada mereka. Pakar kita ada yang daripada Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan laporan yang begitu baik sekali. Hasil penyelidikan itu telah digunakan Australia untuk mewujudkan industri tanaman buah tropika secara besar-besaran di Queensland, sebuah negeri di utaranya yang mempunyai iklim tropika dan subtropika. Hasilnya Queensland kini telah menjadi sebuah negeri pengeksport buah tropika bernilai berbilion dolar. Buah-buahan itu termasuk mangga, durian, rambutan, belimbing, cempedak dan nangka. Malah kita kini boleh membeli mangga Australia (hasil daripada penyelidikan pakar kita) di pasar raya di sini.

Satu kisah lagi ialah mengenai kajian membiak dan mengeluarkan lada hitam berkualiti lebih baik daripada apa yang kita hasilkan di Sarawak dan Johor secara klon. Penyelidikan ini dibiayai JICA –- Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun). Hasil kajian oleh pakar kita itu digunakan Jepun untuk membuka ladang lada hitam secara besar-besaran di Brazil. Hasilnya Brazil kini adalah pengeksport lada hitam terbesar ke Amerika Syarikat dan Kanada. Bagi kedua-dua kisah ini, kita bermata putih sajalah.

Demikian juga pakar sains kita telah menghasilkan baka pohon getah dan kelapa sawit terbaik melalui kaedah klon dan baka-baka ini pun telah diberikan kepada negara lain seperti Indonesia, Vietnam dan beberapa negara lain di Afrika. Tidak menghairankan negara-negara ini nanti akan menjadi pesaing ketat kita bagi getah dan kelapa sawit di dunia.

Prof Emeritus ini menambah lagi, pakar kita itu tidak diiktiraf atau dihargai negara sendiri dan tidak boleh mengharapkan pendapatan baik setimpal kepakaran mereka. Jadi mereka pun berhijrah ke negara maju di mana kepakaran mereka dihargai. Kini kita barulah mahu mengiktiraf mereka ini dan beriya-iya hendak memikat mereka kembali berkhidmat untuk negara.

Dalam pada itu apakah pakar kita yang sedia ada di sini turut dihargai dan diberi pengiktirafan? Apakah hasil penyelidikan mereka yang begitu bercambah disedari atau pun dihargai?

Kini universiti sendiri yang berusaha memberi pengiktirafan kepada saintis dan pakar mereka. Universiti Kebangsaan Malaysia misalnya telah mengusahakan portal beritanya sendiri yang diwujudkan sejak Mei lalu sempena ulang tahun ke-40 penubuhannya dalam web UKM untuk mengetengahkan hasil penyelidikannya kepada umum. Sehingga kini UKM saja sudah mendaftar lebih 295 hak milik intelek hasil dari penyelidikan yang telah dilakukan sejak penubuhannya. Hasil penyelidikan itu juga sedang dinilai dan ditaksir untuk dijadikan sebagai asas penubuhan syarikat bagi mengeluarkan barangan untuk pengguna.

Ia telah menubuhkan syarikat penyelidikan dan pembangunannya, UKM Technology Sdn Bhd yang sudah menubuhkan tiga syarikat dalam usaha mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembagunan (R&D) dan inovasinya. Sejumlah 10 lagi syarikat sedang dalam perancangan untuk dilancarkan. Ini adalah sebagai permulaan saja.

Nampaknya universiti sendirilah yang harus berusaha memberikan pengiktirafan kepada hasil penyelidikan pakarnya kerana kalau tidak hasil penyelidikan mereka tidak dimanfaatkan dan mereka sendiri tidak dipedulikan.

...Bharian

Tuesday, November 23, 2010

Sultan Johor Ulangi Hasrat Supaya Tambak Johor Digantikan

1. Bermula tahun ini, negeri Johor menyambut Hari Keputeraan Sultan pada 22 November 2011 bersempena pertabalan Tuanku Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor yang baru.

2. Pada majlis istiadat sambutan hari keputeraannya, Tuanku telah bertitah mahukan sebuah jambatan didirikan menggantikan tambak johor yang kian berusia. Projek Jambatan ini dimulakan pada zaman Tun Mahathir namun dihentikan atas alasan-alasan yang kurang kukuh pada zaman Tun Abdullah.

3. Ini merupakan kali kedua Tuanku Sultan menitahkan kehendak dan keperluan majoriti rakyat yang mahukan sebuah jambatan baru diadakan.

4. Kerana itu jugalah dakwaan Pak Lah (semasa menjawat PM) yang menyatakan majoriti rakyat Johor menolak hasrat pembinaan jambatan baru sangat tidak bertepatan. Tinjauan yang kononnya dilakukan sangat tidak tepat dan akhirnya undi BN Johor merosot dengan teruk pada PRU Mac 2008.

5. MB Johor juga tidak tegas dan langsung tiada pendirian. Setelah dua kali Sultan bertitah menyuarakan hasrat baginda, Datuk Ghani masih lagi berdiam diri dan mengambil jalan selamat. Sepatutnya MB perlu lebih prihatin, tegas dan menjadi wadah suara rakyat Johor yang juga merupakan tonggak kekuatan Umno Malaysia.

6. Jika beginilah sikap MB, maka penggal terakhir beliau akan terus berlalu tanpa sesuatu yang boleh dikenang oleh rakyat Johor. DS Najib perlu memberi perhatian dan tidak mengambil sikap berdiam sebaliknya perlu meneruskan segala rancangan ang boleh memberi kebaikan pada rakyat Johor dan negara Malaysia.
-sumber: http://umnojohor.blogspot.com


Berikut adalah petikan dari blog rasmi Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai isu Tambak Johor.


1. Saya (Tun Mahathir) siarkan dokumen berkenaan pembiayaan pembinaan Tambak Johor kerana ada Menteri di dalam pentadbiran Tun Abdullah yang mendakwa Tambak Johor milik bersama antara kita dan Singapura. Sebab itu Singapura harus bersetuju sebelum apa-apa tindakan (meroboh) dapat dilakukan terhadap tambak tersebut.

2. Tidak terdapat apa-apa persetujuan mahupun perjanjian yang mengatakan Tambak Johor milik bersama. Jika ada pun 2/3 daripada tambak tersebut adalah milik Johor. Dan bahagian 2/3 tersebut sudah semestinya yang berakhir di Johor Bahru kerana sempadan di Selat Tebrau merupakan laluan air yang paling dalam, kira-kira separuh dari selat tersebut antara Singapura dan Johor. Ini mestilah juga sempadan tambak. Dengan itu separuh tambak di bahagian utara adalah hak Malaysia, satu negara yang berdaulat dan merdeka.

3. Cadangan yang mengatakan kita tidak boleh sentuh tambak tanpa kebenaran Singapura bukan merupakan sebahagian daripada apa-apa perjanjian dengan Singapura. Apa yang kita buat pada bahagian tambak di sebelah kita adalah hak kita sebagai satu negara yang berdaulat. Tidak melaksanakan hak kedaulatan kita samalah dengan menganggap diri kita dijajah.

4. Kenapa kita perlu bina jambatan untuk gantikan tambak? Jalanraya di Johor Baru di mana lalu lintas dari dan ke arah tambak bertemu dengan lalu lintas menghala ke arah timur dan barat seringkali sesak. Di masa hadapan apabila lebih banyak kenderaan menggunakan jalan tersebut, kesesakan tentu akan bertambah buruk.

5. Jambatan akan disambung ke jalan jejambat dari dan ke kompleks kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ), dan ini akan benarkan lalulintas dari timur ke barat untuk bergerak lancar.

6. Selain masalah trafik, laluan air di selat juga tidak mengalir. Jika tambak dibuka, air akan bebas mengalir di kedua-dua arah, dan akan membersihkan perairan di selat.

7. Ketiadaan tambak juga akan benarkan bot dan kapal layar belayar pergi balik di kedua-dua arah. Pengangkutan barangan dan penumpang di antara pelabuhan Pasir Gudang dan pelabuhan Tanjung Pelepas juga akan dipermudahkan. Ini akan bantu pertumbuhan kedua-dua pelabuhan - sesuatu yang mungkin Singapura tidak suka lihat.

8. Laluan tanpa halangan bot-bot sepanjang selat juga akan mewujudkan peluang perniagaan. Jambatan akan lebih lebar daripada tambak dan akan mempercepatkan aliran lalulintas. Bangunan CIQ juga direkabentuk untuk menampung jumlah trafik yang lebih tinggi.

9. Saya ditanya kenapa ianya tidak dibina semasa 22 tahun pentadbiran saya, jawapannya ialah keperluan untuk jambatan hanya jadi lebih jelas di akhir jangka waktu pentadbiran saya. Walau bagaimana pun saya telah luluskan projek tersebut sebelum saya berundur. Kerja-kerja pembinaan juga bermula semasa saya masih lagi mentadbir. Jika Abdullah tidak berhentikan, jambatan sudah tentu akan hampir siap sekarang.

10. Oleh kerana Singapura hanya akan setuju untuk membina jambatan lurus jika satu bilion metre padu pasir dijual kepadanya; oleh kerana rakyat Johor membantah penjualan pasir dan kebenaran bagi pesawat pejuang Singapura berlatih di ruang udara Johor, pilihan yang ada bagi Kerajaan Malaysia hanyalah untuk kembali pada pembinaan jambatan bengkok (indah) di perairan wilayah kita. Ini adalah hak sebuah negara berdaulat yang merdeka.

11. Sebaliknya Abdullah putuskan untuk bukan sahaja tidak bina jambatan di perairan kita tetapi juga untuk berhenti berunding berkenaan semua perkara lain termasuk keengganan Singapura meluluskan dana CPF (Central Provident Fund) yang dicarum pekerja dari semenanjung Malaysia, tanah keretapi, harga air mentah 3 sen untuk 1,000 gelen yang dibayar Singapura (Melaka bayar 30 sen untuk 1,000 gelen).

12. Kesemua isu ini memberi keuntungan pada Singapura dan dengan menghentikan rundingan untuk mendapatkan hak yang lebih baik dalam masalah tersebut kononnya kerana orang Johor menolak penjualan pasir yang rugi ialah kita. Yang kalah adalah kita. Saya rasa ini satu cara bodoh untuk hukum Singapura. Ataupun adakah ianya satu hukuman bagi orang Johor kerana tidak setuju jual pasir (ada orang yang akan buat banyak duit) dan menolak cadangan supaya ruang udara Johor Baru dijadikan tempat pesawat pejuang Singapura berlatih berperang dan mengebom. - Tun Mahathir.

Sunday, November 21, 2010

Angkatan Timbalan Setia Johor

Di Malaysia ini, ada banyak perkara yang dirahsiakan dari umum terutamanya hal ehwal ketenteraan, kekuatannya dan sehingga kini walaupun banyak aset dan inventori Angkatan Tentera Malaysia telah diketahui jumlahnya oleh umum akan tetapi masyarakat masih lagi tidak mengetahui kekuatan “angkatan tentera yang satu ini”.  Ianya hanya dioperasikan oleh satu-satunya negeri di Malaysia, malah tertubuhnya ketumbukan militer ini adalah terlebih dahulu dari Angkatan Tentera Malaysia. Ramai di kalangan rakyat Malaysia masih tercari-cari sumber sahih akan kekuatan ketumbukan tentera ini, tidak kira dari kelengkapan perangnya, askar operasi khusus (Special Operations Forces) dan lain-lain. Itulah Angkatan Timbalan Setia Johor .

Aku dari dahulu lagi masih terfikir-fikir kenapa hanya Johor sahaja memiliki tentera sendiri dan kenapa ianya masih kekal sehingga kini. Apa signifikannya dan apa logiknya? Ada logiknya, oleh kerana Johor adalah negeri yang paling hampir dengan Singapura yang sering bermain api dengan Malaysia, kemungkinan kewujudan angkatan tentera ini sungguh releven. Jika tercetus perkara-perkara yang tidak diingini dengan negara jiran itu (yang selama ini begitu rapat dengan negara Israel) angkatan tentera ini boleh digerakkan sebagai pasukan pertama yang akan membela selatan tanah air dari diserang sementara menanti ketumbukan utama Angkatan Tentera Malaysia menyerang balas. Dengan doktrin negara jiran yang meniru teknik peperangan negara haram Israel iaitu “Pre-emptive strike” mereka menyasarkan dan menjangkakan dapat menawan Bandar Batu Pahat kurang dari 24 jam.Untuk mengekalkan tahap kerahsiaan operasi dan pengurusan tentera yang begitu tinggi, sehingga kini kekuatan ketumbukan Askar Timbalan Setia Johor masih dirahsiakan dan tidak pernah ada liputan yang menyeluruh mengenai sistem persenjataan mereka.
 
Gambar hiasan; Buku JMF 100 tahun

Askar Timbalan Setia Johor atau JMF ( Johore Military Forces ) telah ditubuhkan pada 1885. Angkatan ini merupakan angkatan bersenjata milik Sultan Johor. Umumnya bagi penduduk di Johor, angkatan ini juga dikenali sebagai “Askar Tuanku”. Penubuhan angkatan ini terlaksana semasa Sultan Sir Ibrahim ibni Almarhum Sultan Sir Abu Bakar menjadi Sultan Johor. Baginda menerima saranan pihak British agar memiliki sebuah kekuatan tentera sendiri bagi melindungi Institusi Diraja dan juga bumi Johor. Oleh itu pada peringkat awal penubuhan, angkatan JMF terdiri daripada 60 orang askar Melayu dan 20 orang askar Punjabi. Askar Melayu JMF dilatih sebagai infantri manakala askar Punjabi dilatih dalam unit artileri.

Ketika di dalam Perbarisan

Sultan Sir Abu Bakar ibni Daeng Ibrahim seorang berfikiran jauh dan telah berjaya memodenkan Negeri Johor. Baginda juga telah berbaik-baik dengan Ratu Great Britain Queen Victoria ketika itu sebagai helah untuk mengelakkan campur tangan dan penjajahan Inggeris di negeri Johor dan menghalang cita-cita British untuk menjajah negeri Johor. Johor adalah negeri dalam Tanah Melayu yang pertama memiliki pasukan tentera modennya sendiri dan satu-satunya institusi pasukan tentera yang tertua dalam Malaysia dibiayai oleh kerajaan negeri yang masih kekal hingga kini.

Pada peringkat awalnya Komandan pertama yang dilantik adalah dari kalangan pegawai British iaitu Kapten Newland dan kemudiannya diserahkan kepada Kapten Daud Sulaiman sebaik ditauliahkan. Setelah itu, ketumbukan askar ini telah dipimpin oleh Syed Mohamed bin Nong Yahya dan Mejar Daud bin Sulaiman sebagai orang melayu yang pertama menjadi pegawai pemerintah. Pada tahun 1895, Sultan Ibrahim telah menjadi kolonel pemerintah Timbalan Setia Negeri. Baginda memperkukuh Askar Timbalan Setia Negeri dengan menubuhkan Johor Volunteer Forces (JVF). Pada tahun 1915, kekuatannya bertambah kepada 576 orang, yang terdiri daripada 394 orang Unit Infantari, 98 orang Unit Meriah dan 84 orang Unit Pancaragam. Leftenan Kolonel Tompkins dan Sarjan Mejar Claymore telah dilantik untuk melatih pasukan ini.

Ketika Perang Dunia Pertama tercetus, Askar Timbalan Setia Johor terlibat dalam mematahkan pemberontakan oleh askar-askar India dari pasukan 5th Light Infantry di Singapura dalam tahun 1915.  Askar Timbalan Setia menangkap askar-askar yang memberontak yang menyeberang ke Johor merentasi Selat Johor semasa melarikan diri daripada buruan pihak berkuasa British.

Tanpa kita sedari, banyak jasa Askar Timbalan Setia Johor yang terpahat dalam lipatan sejarah kemerdekaan tanah air khususnya dalam negeri Johor. Misalnya pada tahun 1915, iaitu semasa perang dunia pertama, ketumbukan tentera ini telah menyekat dan menghentikan pemberontakan pasukan tentera India dari Fifth Light Infantry di Singapura. Askar Timbalan Setia Johor berjaya menahan tentera pemberontak yang berjaya membolosi sempadan ke Johor dalam usaha mereka melepaskan diri dari terus menjadi Tentera British. Pasukan ini juga membuat tugas-tugas membantu kawalan tawanan perang ke atas tahanan Jerman di Singapura. Pasukan ini juga memberi bantuan menjaga keselamatan kawasan di Pulau Belakang Mati (kini Pulau Sentosa), Singapura hingga tamat Perang Dunia Pertama.

Gambar hiasan

Selain memberikan bantuan kawalan keselamatan di Singapura, Pasukan Askar timbalan Setia Johor juga memberikan kawalan keselamatan laluan perhubungan di kawasan-kawasan Mersing, Kluang dan Batu Pahat termasuk pangkalan udara di Kluang (kini menjadi pangkalan utama Pasukan Udara Tentera Darat Malaysia)

Ketika di Perang Dunia Kedua tercetus, Askar Timbalan Setia Johor tidak dikerahkan oleh Markas Gerakan Tanah Melayu di bawah pimpinan Lt. Jen. A. E. Percival sebagai sebahagian daripada pasukan pertahanan Semenanjung Tanah Melayu. Apabila pasukan Tentera Jepun memasuki negeri Johor, khususnya bandar Johor Bahru, pasukan Askar Timbalan Setia tidak memberikan sebarang tentangan atau terlibat dalam pertempuran menentang Tentera Jepun.

Antara nama-name besar yang telah berkhidmat dalam pasukan Askar Timbalan Setia Negeri Johor adalah :

1. Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail – Sultan Johor. Baginda merupakan penyandang jawatan Panglima Askar Timbalan Setia Negeri Johor.

2. Tun Hussein Onn – Bekas Perdana Menteri Malaysia. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Debra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.

3. Jeneral (B) Tun Ibrahim bin Ismail – Bekas Panglima ATM. Beliau pernah menyertai dan berkhidmat sebagai kadet dalam Askar Timbalan Setia Negeri Johor sebelum dihantar pada awal tahun 1941 ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Rejimen Hydrabad ke-19 di India.

4. Dato Onn Jaafar.

5. Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid. Beliau merupakan bapa kepada Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid yang pernah menjadi seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor dan mencapai pangkat Mejar dalam tahun 1926


sumber: http://khai79.blogspot.com

Saturday, November 20, 2010

NGO persoal apa keistimewaan Namewee?

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempersoalkan keistimewaan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee sehingga Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak mengambil sebarang tindakan terhadapnya.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, sudah sampai masanya KDN bertindak tegas terhadap Namewee supaya dapat dijadikan pengajaran agar perkara sama tidak berulang.

"Apa gunanya mempunyai peraturan dan kuasa jika tidak ada keberanian untuk menguatkuasakan peraturan itu demi kepentingan negara?

"Pihak berwajib tidak harus berkompromi apabila wujudnya individu yang cuba menyentuh sensitiviti kaum sehingga boleh menggugat perpaduan sedia ada,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tentang tiada tindakan diambil oleh kerajaan terhadap Namewee walaupun pemuda dari Muar, Johor itu berulang kali menerbitkan klip video yang mencerca kaum tertentu, mempersendakan lagu Negaraku dan penggunaan bahasa lucah.

Pada 2007, Namewee yang ketika itu menuntut dalam jurusan komunikasi di Universiti Ming Chuan, Taiwan menghasilkan klip video yang mempersendakan lagu kebangsaan apabila mengubah lirik asal dengan Negaraku ditukar kepada Negarakuku selain mencerca orang Melayu.

Tindakan biadab pemuda itu berterusan apabila menghasilkan klip video memaki-hamun Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dimuatkan dalam laman web Youtube.

Tahun ini, beliau menghasilkan satu lagi klip video yang mencerca seorang pengetua di Kulaijaya, Johor dan menuduh Kementerian Pelajaran sebagai kurang ajar.

Sehubungan itu, Maliki menggesa agar KDN bertindak tegas bagi menjaga kredibiliti pihak berkuasa berkenaan.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC), Mustaffa Mat Arop turut mempersoalkan cara KDN menangani isu Namewee jika dibandingkan dengan isu lain.

"Kalau sekitar tahun 1990-an, KDN boleh bertindak tegas terhadap pertubuhan Al-Arqam yang didapati menyeleweng umat Islam, kenapa pemuda ini yang menyeleweng dan mencetuskan karya biadab yang berbahaya untuk keharmonian negara ini diberi keistimewaan?

"Apakah kita mahu generasi muda negara ini dibiarkan terdedah kepada unsur-unsur berbahaya seperti ini?" katanya.

Mustaffa menegaskan, KDN seharusnya tidak mengamalkan sikap pilih kasih dalam menangani kes Namewee kerana seorang pegawai kerajaan daripada Biro Tata Negara (BTN) yang didapati bercakap tentang perkauman dalam sebuah forum tertutup telah dikenakan tindakan tetapi Namewee terlepas begitu sahaja.
Katanya, MAYC bimbang 'keistimewaan' yang diberikan oleh KDN kepada Namewee itu akan memberi persepsi yang salah dalam kalangan anggota masyarakat bahawa mereka bebas menyuarakan kritikan dengan apa cara sekalipun.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Anak-Anak Merdeka, Prof. Datuk Dr. Ir. Badaruddin Nordin menggesa agar Namewee segera didakwa di mahkamah kerana jelas perbuatannya itu satu kesalahan yang boleh menggugat keharmonian kaum.

"Jangan tunggu lagi dan saya berharap agar pihak berwajib dapat bertindak segera kerana jelas sekali penghinaan terhadap lagu Negaraku itu merupakan kesalahan serius.

"Tak perlu KDN berlengah lagi dan jika tindakan tegas dikenakan terhadap beliau, ia dapat dijadikan pengajaran kepada individu lain yang mempunyai niat yang sama," katanya.

...utusan

Friday, November 19, 2010

.Hantu Mudah Masuk Rumah Kita


Apa yang terjadi di Felda Chini Timur 1, Pekan, Pahang minggu lalu, boleh berulang di mana sahaja, pada bila-bila masa. Berita sedih itu disiarkan dalam kebanyakan media, termasuk pada waktu perdana beberapa stesen TV.

Seorang pemuda 23 tahun dipercayai menuntut ilmu sesat dan terpengaruh dengan buku mengenai makhluk halus, telah menetak sehingga mati ibu kandungnya berusia 57 tahun. Dia menggunakan kapak pemotong buah sawit menetak kepala warga emas itu sehingga terkeluar cebisan otak.

Ketika disiasat polis, remaja tersebut memberitahu bahawa ibunya telah lama mati, dan hanya tinggal jasad yang dihantui saka dan santau. Suspek berkenaan juga memberitahu bahawa dirinya umpama toyol. Bapa suspek mengakui anaknya yang positif dadah itu berubah perangai sejak membaca banyak buku-buku tahayul, dan selalu bercakap seorang diri.

Bagi sesetengah orang membaca – juga menonton – bahan-bahan misteri dan tahayul hanya sebagai hiburan. Tetapi, bukan tidak mungkin bahan-bahan seperti itu boleh mempengaruhi sesetengah orang. Pengaruh negatif itu sekiranya berterusan, pasti memudaratkan. Maka, ada baiknya bahan-bahan seperti itu tidak dibiarkan berleluasa. Perlu ada sedikit kawalan.

Sekiranya kes ini boleh dijadikan contoh, jelas sekali buku tahayul yang dibacanya memberi kesan negatif. Antara perkara tahayul yang telah meresap dalam fikirannya ialah dia sebagai toyol, dan jasad ibunya dihantui saka. Hari demi hari perkara itu masuk dalam jiwanya. Adalah amat malang sekiranya benar pengaruh tahayul itulah yang mendorong dia melakukan jenayah.
Jangan pandang ringan, tahayul dan misteri tidak hanya mempengaruhi kanak-kanak dan remaja, tetapi boleh meresap juga ke jiwa orang dewasa. Malah orang berilmu dan berkedudukan tinggi pun boleh terpengaruh. Buktinya kisah misteri Siti Balqis di Besut, Terengganu, berjaya memperdaya sekian ramai orang termasuk yang bergelar YB.
Dalam era ICT yang serba canggih ini, benda-benda seperti tahayul, misteri, hantu, orang halus, penunggu banglo kosong dan spesies yang setaraf dengannya, sepatutnya sudah dibuang jauh dari fikiran orang kita. Sepatutnya jangan pandang belakang, kita harus ke depan. Malang sekali, ketika orang lain sibuk dan bekerja keras merealisasikan NKRA, KPI, GTP, DEB, 1M dan sebagainya, kita sibuk memburu hantu.

Tidak sahaja menerusi buku dan majalah, beraneka jenis hantu dan puaka kini masuk ke rumah kita setiap hari, menerusi TV. Sebuah stesen TV popular menyiarkan program khas setiap minggu, dengan fokus mengenai perkara-perkara misteri. Program yang telah berjalan sejak beberapa tahun ini adalah antara yang paling tinggi peminatnya.

Ada juga stesen TV menyediakan krew penyiasat dan pakar khusus mencari hantu. Pantang ada rumah kosong atau busut yang luar biasa sedikit bentuknya, pasti akan ada krew dengan peralatan ‘canggih’ untuk mengesan benda-benda ghaib. Tetapi, sehingga kini belum ada hantu atau makhluk halus yang betul-betul dapat ditangkap atau dirakamkan. Mungkin hantu lebih canggih.

Pada hemat saya stesen-stesen TV tidak perlu menonjolkan sangat hal-hal ghaib. Dulu-dulu kita bimbang penonton, terutama para remaja, terpengaruh dengan seks dan keganasan yang ditayangkan saban hari di TV. Walaupun ada banyak tentangan dari NGO dan tokoh-tokoh masyarakat termasuk ulama, bahan-bahan kuning itu terus disiarkan tanpa batas hingga hari ini. Pemilik stesen TV tidak percaya bahawa meningkatnya kadar jenayah antara puncanya ialah menonton filem-filem ganas.

Kini TV kita berlumba pula dalam hal-hal tahayul. Drama dan siri misteri menjadi menu harian stesen-stesen TV kita. Malam ini ada puntianak, esok ada saka, lusa cerita mayat balik ke rumah, tulat kisah hantu pocong. Pendek kata ada sahaja filem seram di TV kita, sama ada yang diimport atau yang diterbitkan dalam negeri.

Menjadi perkara biasa dalam program dan siri-siri seram seperti itu, antara yang ditonjolkan ialah peranan bomoh, dukun dan lain-lain pengantara yang dikatakan dapat menyelesaikan atau mengubati masalah misteri. Bomoh dan pengamal perubatan tradisional dikatakan dapat memujuk dan menghalau makhluk halus dengan jampi serapah dan dengan ayat-ayat al-Quran.

Biasa ditonjolkan juga dalam siri-siri seram itu peranan orang agama – selalunya disebut ‘ustaz’ – untuk menyelesaikan kes-kes yang tidak dapat ditangani oleh bomoh dan dukun biasa. Ustaz dengan kemahiran batin dan ilmu agama yang mereka ada digambarkan sebagai orang yang akhirnya berjaya mengatasi masalah-masalah misteri ini, termasuk menangkap jin.

Malah, sesetengah ustaz menulis buku menceritakan pengalamannya mengembara di alam ghaib. Mereka mendakwa boleh berkomunikasi dengan makhluk halus termasuk jin. Pengalaman itu ditulis untuk menjadi panduan kepada masyarakat. Bukankah panduan sebenar mengenai perkara-perkara ghaib ini telah dijelaskan dalam al-Quran?

Bukanlah saya menidakkan ilmu halus dan kemahiran lain yang ada pada sesetengah ustaz. Tetapi pada hemat saya peranan ustaz dalam masyarakat moden yang serba mencabar lagi serba ICT ini, tentulah lebih besar dari sekadar menangkap jin, atau memburu orang bunian!

...Abd Jalil Ali

Thursday, November 18, 2010

Cara Sembelih Haiwan Ikut Peradaban Islam


Binatang korban tak boleh dizalimi, diseksa

TANGGAL 10 Zulhijah sentiasa dinanti umat Islam di seluruh dunia kerana bermula hari itu diikuti tiga hari tasyrik, ibadat korban dilakukan dengan penyembelihan haiwan seperti unta, lembu, biri-biri dan kambing.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati. (Hadis riwayat Muslim)

Islam ialah agama peradaban yang bukan hanya menggariskan prinsip moral dalam interaksi sesama manusia malah mencakupi interaksi dengan makhluk lain termasuk haiwan.

Menjelang ibadat korban yang bakal dilakukan nanti, sudah tentu ribuan atau jutaan haiwan korban akan dikeluarkan dari ladang serta pusat penternakan haiwan bagi memenuhi kehendak pasaran melalui darat, udara, air menggunakan kenderaan seperti lori, kapal terbang dan kapal laut.

Islam menitikberatkan kebajikan haiwan sewaktu dibawa menempuh perjalanan. Haiwan yang dibawa menaiki kenderaan perlu dipastikan keselamatannya. Haiwan tidak boleh dibiarkan dalam kenderaan bersesak-sesak hingga menimbulkan ketidakselesaan yang membawa kecederaan.

Jika perjalanan itu menempuh masa panjang, haiwan itu perlu diberi makan dan minum secukupnya. Begitulah indahnya adab dan ihsan dalam ajaran Islam walaupun kepada haiwan.

Amalan mengambil berat kebajikan dan melayani haiwan secara wajar ini dijanjikan pahala oleh Allah. Sahabat bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah, adakah kami mendapat pahala dengan melayani dan menyayangi haiwan ini? Rasulullah menjawab: Menyayangi setiap makhluk hidup itu berpahala. (Hadis riwayat Muslim)
Sementara itu, dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan kemurkaan Allah terhadap perbuatan seorang wanita yang menganiaya seekor kucing dengan mengurungnya serta tidak memberi makan, minum dan tidak dilepaskan untuk mencari makanan sendiri. (Hadis riwayat Muslim)

Islam menetapkan adab sembelihan yang melambangkan kemurnian Islam sebagai agama kasih sayang. Rasulullah SAW melarang sahabat menajamkan pisau di hadapan haiwan yang hendak disembelih.

Dalam satu riwayat lain, Saidina Ali melarang penyembelihan seekor biri-biri di hadapan sekumpulan biri-biri lain. Peristiwa ini membuktikan ajaran Islam mengambil berat kebajikan haiwan dengan menjaga emosi mereka daripada ketidakselesaan walaupun di saat akhir hayat.

Penyembelihan dalam Islam juga ialah untuk mematikan haiwan dengan cara yang meminimumkan kesakitan. Kajian saintifik diketuai Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih berbanding kaedah stunning yang digunakan beberapa negara Barat.

Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado, juga mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih.

Hikmah di sebalik amalan sunat sewaktu penyembelihan juga menunjukkan ihsan ajaran Islam terhadap haiwan. Amalan memalingkan haiwan sembelihan ke arah kiblat serta bacaan bismillah dan selawat ke atas nabi ialah penghormatan diberikan Islam kepada makhluk Allah.

...bharian

Tuesday, November 16, 2010

Ibadah Qurban


PENGERTIAN QURBAN
Qurban atau Udhiah bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu jenisnya daripada ternakan yang diketegorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing pada Hari Nahr atau Hari Raya Haji (10 Zulhijjah) dan pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) kerana bertaqarrub(mendekatkan diri) kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH QURBAN
1) Sunat
· Imam Syafie berpendapat hukum melakukan ibadah qurban ini adalah Sunat Muakkadah
iaitu sunah yang amat digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu Muslim yang
merdeka, berakal, baligh lagi rasyid (cerdik) serta berkemampuan melakukannya sama
ada sedang mengerjakan haji atau pun tidak sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.
2)Makruh
· Makruh meninggalkan ibadah ini bagi orang yang mampu melakukannya.
3)Wajib
· Hukum qurban ini menjadikan wajib jika seseorang itu telah bernazar untuk
melakukannnya atau telah membuat penentuan (at-ta’yin) untuk melaksanakannya seperti
seseorang berkata "lembu ini aku jadikan qurban". Daging qurban wajib tidak dibenarkan untuk dimakan oleh yang empunya qurban dan tanggungannya
4)Haram
· Jika tidak dilakukan oleh orang yang bernazar untuk melakukannya

DALIL IBADAH QURBAN
Qurban sangat dituntut dalam Islam. Dalil yang menerangkan waktu korban ialah firman Allah s.w.t.:
*Surah al-Kausar ayat 2: maksudnya: "Maka bersembahyanglah kamu kerana Tuhanmu dan berqurbanlah kerana-Nya."
*Surah al-Haj ayat 37: maksudnya: "Daging dan darah binatang qurban atau hadiah tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu".

SYARAT SAH QURBAN
1. Haiwan yang hendak diqurbankan itu hendaklah dalam keadaan sempurna tanpa ada
kecacatan yang nyata tanpa ada kecacatan yang nyata dan mengurangkan daging atau
memudaratkan kesihatan.
2. Ianya dilakukan pada waktu yang dikhususkan untuk menjalankan ibadah qurbani aitu:
o Bermula daripada terbit matahari pada Hari Nahr atau Aidil-Adha pada(10Zulhijjah)
o Waktu yang afdhal melakukannya ialah ketikamatahari telah naik sekadar 7 kaki dari ufuk.
o Berkekalan waktu qurban ini sehingga terbenam matahari pada13 Zulhijjah
3. Ibadah qurban hendaklah disertakan dengan niat.

SYARAT BINATANG QURBAN
Ulama’ bersepakat bahawa binatang yang boleh dijadikan qurban hanyalah binatang yang
diketegorikan sebagai al-an’amia itu unta, lembu (termasuk kerbau), kambing dan biri-biri sama ada jantan atau betina.Di antarasyarat-syaratnya adalah:
1. Unta- berumur 5 tahun masuk ke6tahun.
2. Lembu / kerbau / kambing- 2tahun lebih.
3. Biri-biri / kibas – Setahun masuk kedua atau sudah bersalin gigi hadapan walau pun belum cukup setahun tetapi melebihi 6 bulan.
4. Hendaklah ia sejahtera daripada sebarang kecacatan seperti tiada telinga atau terpotong ekor, gila, kudung, sangat kurus, buta dan sebagainya. Ada 4 kecacatan utama yang telah disepakati oleh Ulama’yang menghalang sahnya qurban iaitu berdasarkan hadis riwayat Barra’ bin Azib iaitu sabda RasullahSAW yang bermaksud : "4 jenis kecacatan yang tidak harus diperbuat qurban iaitu buta sebelah mata, berpenyakit, tempang dan terlalu kurus".
Daripada hadith di atas Ulama’ telah mengqiaskan kepada kecacatan yang seumpamanya
atau lebih teruk daripada kecacatan tersebut. Ia dapat diringkaskan seperti berikut:
1. Tiada atau terpotong telinga ataupun lidahnya walaupun sedikit begitu juga yang
terpotong ekornya.
2. Gila
3. Berkudis walau pun sedikit.
4. Haiwan yang baru melahirkan anak atau yang bunting.
5. Tersangat kurus.
6. Buta sebelah mata atau kedua-duanya.
7. Berpenyakit
8. Tersangat tempang
Tetapi, jika telah bernazar untuk qurban binatang yang sudah ada kecacatan tersebut,
wajarlah dia melaksanakan nya.
5. Haiwan yang tiada ekor, tiada gigi atau patah setengah giginya, tiada zakar, haiwan yang dikasi zakarnya boleh dijadikan binatang qurban.
6. Makruh mengorbankan haiwan yang tidak bertanduk atau patah tanduknya begitu juga haiwan yang terbelah atau bertebuk telinganya.
7. Seekor unta, lembu atau kerbau itu harus dikongsi oleh tujuh orang sama ada dari keluarga yang sama atau yang lain walaupun tidak semuanya bermaksud qurban, misalnya ada antaranya bermaksud aqiqah dan yang lainnya kerana mahukan dagingnya sahaja.
8. Bagi seekor kambing atau biri-biri hanya cukup untuk seorang sahaja, tetapi harus berkongsi dengan orang lain dalam pahala berqurban dengan seekor korban itu.
9. Adalah afdhal dibuat qurban bagi seorang dengan seekor unta, kerana banyak dagingnya untuk dibahagikan kepada fakir. Kemudian lembu atau kerbau, kemudian biri-biri dan kemudian kambing.
10. Berqurban dengan 7 ekor kambing itu lebih afdhal daripada seekor unta atau lembu kerana daging kambing lebih baik dan lebih banyak darah yang tumpah ketika disembelih.
11. Berqurban dengan seekor kambing itu pula lebih afdhal daripada seekor lembu atau unta yang dikongsi oleh tujuh orang.

SYARAT ORANG YANG MENYEMBELIH BINATANG QURBAN
· Para ulama menganjurkan agar yang melakukan penyembelihan adalah orang yang berqurban itu sendiri, sekiranya dia pandai menyembelih. Tetapi mereka juga sependapat mengatakan harus mewakilkannya kepada orang lain. Afdhalnya wakil itu adalah orang Islam yang mengetahui akan hukum-hakam mengenai korban.
· Adalah afdhal orang yang tidak pandai menyembelih berwakil kepada orang lain untuk
menyembelih bagi pihak dirinya dan sunat bagi orang yang berwakil itu hadir dan menyaksikan penyembelihan keatas binatang qurban tersebut.
· Makruh hukumnya mewakilkan qurban kepada kanak-kanak atau orangbuta.

HUKUM DAGING QURBAN
1) Qurban Wajib dan Qurban Nazar :
Bagi daging qurban kerana sembelihan wajib seperti nazar maka hukumnya Wajib
disedekahkan kesemuanya. Haram ke atas orang yang berqurban itu memakan daging tersebut. Jika telah dimakan daging itu maka Wajib diganti kadar yang dimakan itu tetapi tidak wajib dia menyembelih semula yang lain.

2)Qurban Sunat :
Bagi daging qurban sunat pula, adalah Sunat bagi orang yang empunya qurban memakan
sebahagian daripadanya sebagaimana firman AllahTa’ala dalam Surah al-Haj ayat 28:
Maksudnya : "….Maka makanlah daripadanya dan beri makanlah kepada orang-orang yang
sangat fakir."
Wajib disedekahkan sebahagian daripada daging-daging qurban sunat itu kepada golongan
fakir dan miskin yang beragama Islam dalam keadaan mentah lagi basah(belum dimasak).

Adalah Afdhal jika yang empunya qurban itu hanya mengambil sedikit daripada daging qurban berkenaan manakala sebahagian besar daripadanya disedekahkan. Daging yang disedekahkan akan menjadi milik penerima sepenuhnya di mana dia boleh menjual, melelong atau menghadiahkan daging tersebut kepada orang lain dan sebagainya.

Jika daging qurban itu ialah qurban disebabkan wasiat dari seorang yang telah meninggal
dunia, maka tidak boleh dimakan dagingnya oleh orang yang membuat qurban untuknya dan tidak boleh dihadiahkan kepada orang kaya kecuali ada izinnya.

Haram menyedekah atau menghadiahkan daging qurban kepada orang kafir walaupun sedikit. Begitu juga tidak harus memindahkan daging qurban ke daerah lain sebagaimana dalam hukum zakat. Haram juga hukumnya ke atas orang yang berqurban atau warisnya menjual daging qurban itu atau kulitnya atau bulunya atau sesuatu daripada binatang qurban itu sebagaimana sabda Rasullah Sallallahu’AlaihiWasallam yang bermaksud "Siapayang menjual kulit qurban(udhiyyah) itu maka tiada dikira qurban baginya." (Hadis riwayat al-Hakim)

Begitu juga halnya, haram menjadikan kulit dan daging binatang qurban itu sebagai upah kepada penyembelih, tetapi harus diberikan kepadanya dengan jalan sedekah atau hadiah.

HIKMAH IBADAH QURBAN
Di antara hikmah yang diperolehi daripada ibadah qurban ini amat besar antaranya:
1. Menambah amal kebajikan. Sabda Rasullah SAW: Maksudnya: "Qurban itu bagi tuannya
dengan setiap bulunya adalah kebajikan". (Hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan al-
Hakim)
2. Sebagai penebus dosa Sabda Rasullah SAWkepada Sayyidatina Fatimah: Maksudnya:
"Hai Fatimah, berdirilah di sisi qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan
darahnya yang pertama itu pengampunan bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu".
(Hadis riwayat al-Bazzar dan Ibnu Hibban)
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasullah SAW: Maksudnya: "Wahai
manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan
darahnya, bahawa sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan
mengambil tempat yang mulia di sisi AllahAzzaWajalla." (Hadis riwayat Thabrani)
4. Rasullah SAW pernah bersabda: Maksudnya : "Tiada dibuat oleh anak Adampada Hari
Raya Aidil-Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Ta’ala daripada
menumpahkan darah (menyembelih qurban). Bahawa qurban itu datang pada hari kiamat
dengan tunduk-tunduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah qurban
itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka
hendaklah kamu buat qurban itu dengan hati yang bersih." (Hadithriwayat Tirmidzi)
5. Ancaman terhadap orang yang mampu melakukan qurban tetapi tidak melaksanakannya.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ’anhu katanya, sabda Nabi SAW:Maksudnya:
"Barangsiapa yang ada kemampuan untuk berqurban tetapi tidak melakukannya,
janganlah dia hadir bersama kami di tempat sembahyang kami".
6. Memperingati peristiwa ketaatan Nabi Ibarahim AS yang sangup menyahut perintah Allah
Ta’ala untuk mengorbankan anaknya Nabi Ismail AS.
7. Melahirkan tanda bersyukur kepada Allah terhadap nikmat-nikmatnya yang melimpah ruah.
8. Menanamkan perasaan kasih-sayang antara si kaya dengan simiskin.

..IBADAH AKIKAH
PENGERTIAN AKIKAH
Akikah ialah sembelihan binatang an’amiaitu unta, lembu (termasuk kerbau), biri-biri dan kambing yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

HUKUM MELAKUKAN IBADAH AKIKAH
Hukum akikah ialah sunat muakad bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak
tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian.

DALIL DAN WAKTU MELAKUKAN AKIKAH
Waktu akikah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdal untuk melakukan akikah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak itu. Sabda Rasullullahs.a.w.: Yang bermaksud: "Setiap bayi itu tergadai dengan akikahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama."

SYARAT AKIKAH
1. Berniat akikah ketika menyembelih.
2. Hendaklah binatang tersebut tidak ada cacat yang boleh mengurangkan dagingnya serta sampai umur.

SUNAT-SUNAT AKIKAH
1. Berdoa semasa hendak menyembelih:
Yang bermaksud: "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini akikah…" (menyebut nama anak).
2.Menyembelih ketika matahari sedang naik.
3. Daging akikah dimasak terlebih dahulu sebelum disedekahkan.
4. Tidak mematah-matahkan tulang-tulang dari pada binatang akikah, hanya mencerai-ceraikan sendi-sendinya.
5.Menyedekahkan daging akikah kepada fakir miskin.
6.Memasak daging akikah dengan cara gulaimanis untuk dihidangkan kepada tetamu.

HIKMAH IBADAH AKIKAH
Akikah mengandungi beberapa hikmah, antaranya:
· Sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah kerana telah mengurniakan anak.
· Untuk mengisytiharkan kepada masyarakat umum tentang anugerah yang dikurniakan
oleh Allah.
· Untuk memulakan kehidupan anak dengan perkara-perkara kebaikan.
· Mengeratkan hubungan silaturrahim antara ahli-ahli masyarakat dengan keluarga yang
dikurniakan anak.
· Melahirkan rasa kegembiraan kerana mendapat zuriat yang menepati sunnah Rasulullah
SAW.

PERBEZAAN ANTARA IBADAH QURBAN DAN AKIKAH
Terdapat beberapa perbezaan antara qurban dengan akikah:
1. Akikah tidak terikat pada masa tertentu, sedangkan qurban dilakukan pada masa-masa
tertentu, iaitu selepas sembahyang dan khutbah Hari Raya Aidiladha hingga 13 Zulhijah.
2. Daging akikah boleh diberi milik kepada orang kaya manakala daging qurban hanya boleh diberi kepada fakir miskin.
3. Akikah dilakukan sempena menyambut kelahiran anak sebagai tanda kesyukuran kepada
Allah, manakala korban dilakukan kerana memperingati peristiwa pengorbanan Nabi
Ibrahim dan anaknya, Ismail.
4. Daging korban sunat disedekahkan secara mentah, sedangkan daging akikah sunat
disedekahkan setelah dimasak

sumber: http://www2.tganu.uitm.edu.my

Monday, November 15, 2010

Masjid Tidak Belanjakan Wang?


AKHIR-AKHIR ini kita melihat kecenderungan masyarakat menyumbang kepada masjid sebagai sedekah jariah untuk melahirkan rasa syukur mereka kapada Allah yang memberikan rezeki saban hari. Ini selain kutipan yang biasa dilakukan pada hari Jumaat sewaktu solat Jumaat.

Sebahagian mereka ini menyumbang sedekah dengan harapan pahalanya akan sampai kepada ibu bapa bapa di alam barzah.

Malangnya Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid gemar memendam wang tersebut dalam akaun masjid bagaikan satu kebanggaan untuk dipamerkan di papan kenyataan masjid untuk menunjukkan kehebatan mereka mengumpul wang yang banyak.

Sesetengah masjid mengumpul wang sehingga melebihi suku juta tanpa dibelanjakan secara bermanfaat bagi menyampaikan maksud penderma. Ini berlaku kerana semua kemudahan masjid sudah lengkap dan tidak perlu diubahsuai apa-apa lagi. Sedarkah mereka perbuatan ini umpama menyekat satu niat baik anak-anak kariah yang menderma dengan tujuan dapat meringankan azab ibu bapa di alam barzah?

Mungkin sebahagian AJK masjid sendiri tidak berilmu untuk mentadbir dan tidak tahu cara mana hendak membelanjakan wang tersebut. Salah siapakah ini? Adakah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAI) negeri dan daerah yang sepatutnya memberi satu garis panduan bagaimana hendak membelanjakan wang masjid yang besar itu? Atau adakah kerana kedegilan pihak AJK sendiri enggan mematuhi arahan JHEAI?

Jika masjid benar-benar digunakan sebagai tempat beribadat dan institusi kebajikan kapada masyarakat, kita akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan masyarakat Islam khususnya. Banyak perkara yang boleh kita lakukan saperti menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membantu membiayai maahad tahfiz, atau membantu kewangan sekolah-sekolah agama rakyat.

Juga untuk membantu menaik taraf surau-surau di bawah kariah masjid tersebut seperti memasang permaidani, membaiki tempat wuduk dan membina tandas awam yang lebih sempurna. Juga membina surau-surau sementara daripada kontena di tapak-tapak pasar malam bagi kemudahan peniaga.

Mereka juga boleh membiayai pelajar-pelajar kita melanjutkan pelajaran ke Timur Tengah, menyumbang kapada saudara-saudara baru yang disisihkan keluarga serta menyumbang kapada mangsa banjir yang menginap di masjid sebagai tempat perpindahan. Ini semua adalah tugas-tugas yang mesti sentiasa difikirkan oleh AJK masjid yang memegang amanah daripada anak kariah.

Sikap sesetengah AJK masjid yang mengunci surau dan masjid selepas subuh hingga maghrib amat dikesali. Sepatutnya barang-barang berharga di masjid dan surau perlu disimpan dan dikunci di dalam jerejak besi yang dipasang di dalam dan luar masjid. Masjid atau surau tidak sewajarnya dikunci di waktu siang. Adakah harga sebuah kipas angin dan pembersih hampagas lebih mahal daripada pahala dua rakaat solat sunat yang dilakukan oleh seorang musafir?

Sewajarnya surau dan masjid menjadi stesen persinggahan musafir yang memerlukan pelbagai kemudahan selesa.

Pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri dan Daerah juga perlu memantau akaun-akaun besar masjid. Persepsi AJK masjid juga perlu berubah bahawa wang masjid tidak akan habis dan kering kerana ramai anak kariah akan terus menyumbang. Yang penting mereka perlu berbelanja dengan sewajarnya.

...Muhammad Abdullah-Utusan Malaysia

Iman Semut Dan Iman Manusia


***IMAN SEMUT
Pada zaman Nabi Allah Sulaiman AS, berlaku satu peristiwa apabila Nabi Allah Sulaiman nampak seekor semut melata di atas batu; lantas Nabi Allah Sulaiman merasa hairan bagaimana semut ini hendak hidup di atas batu yang kering di tengah-tengah padang pasir yang tandus. Nabi Allah Sulaiman pun bertanya kepada semut, " Wahai semut apakah engkau yakin ada makanan cukup untuk kamu?"

Semut pun menjawab, "Rezeki di tangan Allah, aku percaya rezeki di tangan Allah, aku yakin di atas batu kering di padang pasir yang tandus ini ada rezeki untukku."

Lantas Nabi Allah Sulaiman pun bertanya, " Wahai semut, berapa banyakkah engkau makan? Apakah yang engkau gemar makan? Dan banyak mana engkau makan dalam sebulan?"

Jawab semut, "Aku makan hanya sekadar sebiji gandum sebulan."

Nabi Allah Sulaiman pun mencadangkan, "Kalau kamu makan hanya sebiji gandum sebulan tak payah kamu melata di atas batu, aku boleh tolong."

Nabi Allah Sulaiman pun mengambil satu bekas, angkat semut itu dan dimasukkan ke dalam bekas; kemudian diambilnya gandum sebiji, dibubuh ke dalam bekas dan ditutup bekas itu. Kemudian Nabi Allah Sulaiman meninggalkan semut itu di dalam bekas dengan sebiji gandum selama satu bulan.

Setelah cukup satu bulan, Nabi Allah Sulaiman melihat gandum sebiji tadi hanya dimakan setengah sahaja oleh semut, lantas Nabi Allah Sulaiman menempelak semut itu, "Kamu rupanya berbohong pada aku!. Bulan lalu kamu kata kamu makan sebiji gandum sebulan, ini sudah sebulan tapi kamu makan setengah sahaja."

Jawab semut, "Aku tidak berbohong, aku tidak berbohong. Kalau aku ada di atas batu aku pasti makan apapun sehingga banyaknya sama seperti sebiji gandum sebulan, kerana makanan itu aku cari sendiri dan rezeki itu datangnya daripada Allah dan Allah tidak pernah lupa padaku. Tetapi bila kamu masukkan aku dalam bekas yang tertutup, rezeki aku bergantung pada kamu dan aku tak percaya kepada kamu, sebab itulah aku makan setengah sahaja supaya tahan dua bulan. Aku takut kamu lupa."
Itulah Iman Semut!!!

***IMAN MANUSIA???
Pada zaman Imam Suffian, ada seorang hamba Allah yang kerjanya mengorek kubur orang mati. Kerja korek kubur untuk orang mati bukan kerja yang ganjil. Bila ada orang mati, mayat terpaksa ditanam, oleh itu kubur perlu digali dulu. Tetapi yang ganjil mengenai hamba Allah ini ialah dia tidak gali kubur untuk tanam mayat.

Sebaliknya apabila orang mati sudah ditanam, waris sudah lama balik ke rumah dan Munkar Nakir sudah menyoal, barulah penggali ini datang ke kubur untuk korek balik kubur tersebut.

Dia nak tengok macam mana rupa mayat setelah di"temuduga" oleh Munkar Nakir. Dia korek 1 kubur, 2 kubur, 3 kubur, 10 kubur, 50 kubur sampai 100 kubur. Lepas itu, penggali pergi kepada Imam Suffian dan bertanya kepadanya, "Ya Imam, kenapakah daripada 100 kubur orang Islam yang aku gali, dua sahaja yang mana mayat di dalamnya masih berhadap kiblat. Yang 98 lagi sudah beralih ke belakang?"

Jawab Imam Suffian," Diakhir zaman hanya 2 dari 100 umat Islam yang percaya rezeki itu di tangan Allah. 98 orang lagi tidak percaya bahawa rezeki di tangan Tuhan".

Itulah sebabnya apabila umat Islam tertekan dengan SOGOKAN duit yang banyak, biasanya, iman dia akan beralih.

Nyatalah iman semut lebih kuat dari iman manusia!!!

Kata Saidina Ali kepada Kamil, " ILMU ITU LEBIH BAIK DARIPADA HARTA, ILMU MENJAGA ENGKAU DAN ENGKAU MENJAGA HARTA, ILMU MENJADI HAKIM, HARTA DIHAKIMKAN, HARTA BERKURANGAN APABILA DIBELANJAKAN DAN ILMU BERTAMBAH APABILA DIBELANJAKAN."

...malaysiaria

Friday, November 12, 2010

Wahai Cina, India Dan Melayu, Ke Mana Haluan Kita?


"KENAPA sekarang dan tidak dahulu?" Pertanyaan itu sebenarnya soalan seorang warga emas berbangsa Cina, beragama Islam yang juga adalah emak saya. Sungguhpun beliau sudah memeluk Islam lebih 30 tahun lalu, namun beliau tetap seorang Cina.

Sebagai seorang Cina, emak selalu berbahas kerana saya membela Melayu, emak tetap membela Cina. Semalam, saya dipancing dengan dua soalan daripada emak. Soalan pertama: Apakah salah budak sekolah hingga dirotan kerana membawa bekal daging babi ke sekolah? Soalan kedua: Mengapa kini ramai pengetua Melayu bertindak racist, kenapa tidak dari dahulu?

Jawapan saya pada soalan pertama -- budak tersebut adalah mangsa dan beliau langsung tidak bersalah. Malah, mimpi ngeri yang beliau alami akan mengubahnya dari dalam diri, menjadi seorang yang bencikan Malaysia. Jika nasibnya baik, sudah pasti dia akan berhijrah dari Malaysia, negara yang dibencinya.

Soalan kedua sebenarnya adalah soalan bonus, kerana jawapannya akan menjelaskan semua perilaku orang Melayu biasa yang digelar sebagai rasis.

Jawapan "kenapa sekarang dan tidak dahulu," adalah kerana sekarang Cina dan India begitu lantang mempersoalkan hak Melayu dan Raja-raja. Lebih berani lagi, Cina dan India juga begitu terbuka mencabar kesucian agama Islam termasuk isu Kalimah Allah, Namewee mempersendakan laungan azan, berucap dalam masjid, membaca petikan al-Quran, kes kepala babi di Masjid, menyimbah cat ke surau kerana ditegur, menghina Allah dan Nabi Muhammad dalam Facebook dan Internet, mempersendakan solat, menderma wang judi, menggunakan wang zakat, menyaman kerajaan kerana tidak membenarkan kad pengenalan Lina Joy dibuang perkataan agama Islam, menuduh Islam sebagai pengganas dengan melakukan ethnic cleansing dan banyak lagi.

Kesemua perlakuan Cina dan India ini langsung tidak dikenakan tindakan. Pada saat ini, undi Cina dan India adalah 'Tuhan' kepada parti politik terutama Pas yang kelihatan begitu menyembah dua kaum itu supaya beri undi kepada mereka.

Kerajaan pula terpaksa mengikut rentak Pas dengan berlembut terhadap Cina dan India dan semua pihak yang mencabar Islam dibiarkan bebas. Perkembangan ini masih dapat mendiamkan Melayu, tetapi apakah Cina dan India benar-benar fikir Melayu diam bererti Melayu takut?

Oleh kerana kerajaan dan pemimpin politik Islam dari pakatan pembangkang tidak mampu mempertahankan kesucian Islam, maka sebagai rakyat biasa, sebagai hamba kepada Allah, pengetua di Johor, di Kedah, dua beradik membakar gereja dan ramai lagi telah bertindak sendiri.

Sifat amarah mereka meningkat setiap kali Cina dan India menghina Allah, Rasul dan agama Islam.

Kenapa tidak dahulu pengetua yang sudah menginjak usia 50 tahun ini bertindak sedemikian? Kerana dahulu, Pas adalah jaguh mempertahankan Islam dan kerajaan pula begitu tegas terhadap mana-mana individu yang dilihat bukan sahaja mengancam, tetapi memprovokasi agama lain.

Soalan akhir kepada emak saya, jika Namewee, Cina dan India, Dr. Chua Soi Lek, Lina Joy murtad, gereja yang memohon guna kalimah Allah, wakil rakyat Cina masuk ke masjid dan membaca petikan al-Quran tidak memulakan dahulu tindakan provokasi mereka, apakah Melayu yang lemah lembut ini akan memulakannya?

Lebih malang lagi Melayu yang disiat-siat kesabarannya, setiap kali orang Melayu atau akhbar Melayu mengeluarkan kenyataan, mereka akan dikenakan tindakan tetapi bila Cina, India dan akhbar mereka, jawapan yang kita dapat adalah sedang disiasat.

Tepuk dada, tanyalah selera wahai Cina, India dan Melayu, ke mana haluan kita? Tetapi percayalah, pilihan dalam tangan kanan kita adalah yang terbaik, yakni marilah kita sama-sama belajar menghormati undang-undang yang sudah termaktub dan tertulis hak Melayu dan marilah kita menghormati kesucian semua agama di Malaysia. Jika tidak, buruk padahnya.

...MUSTAQIM ABDUL RAHMAN
Batu Caves, Selangor.

Tuesday, November 9, 2010

Anda Di Mata Orang Lain…


Suatu hari seorang Motivator terkenal membuka seminarnya dengan cara yang unik.
Sambil memegang wang RM100, dia bertanya kepada hadirin,

“Siapa yang nak duit ini?”.

Kelihatan ramai penonton angkat tangan menunjukkan ramai yang minat.

“Saya akan berikan ini kepada salah seorang dari anda , tapi sebelumnya perkenankanlah saya buat ni dulu.”

Dia berdiri mendekati hadirin. Wang itu diramas-ramas dengan tangannya sehingga renyuk.

Lalu bertanya lagi,

“Siapa yang masih mahu duit ini?”

Jumlah tangan yang mengangkat tak berkurang.

“Baiklah,” jawabnya,

“Apa jadinya bila saya melakukan ini?”

Ujarnya sambil menjatuhkan wang itu ke lantai & melenyek-lenyekkan dgn kasutnya. Meski masih utuh, kini wang itu jadi amat kotor,lusuh dan amat renyuk.

OK, sekarang masih ada yang berminat?”.

Tangan-tangan yang angkat ke atas masih tetap banyak.

“Hadirin sekalian, Anda baru saja menghadapi sebuah pelajaran penting. Apapun yang terjadi dengan wang ini, anda masih berminat kerana apa yang saya lakukan tidak akan mengurangi nilainya.

Biarpun renyuk,lusuh dan kotor, wang ini tetap bernilai RM100 juga..

Dalam kehidupan ini, kita pernah beberapa kali terjatuh, terkoyak, dan dipenuhi kotoran akibat keputusan yang kita buat & situasi yang menerpa kita dalam sesuatu keadaan dahulu.

Dalam keadaan seperti itu, kita merasa tak berharga, tak bererti.

Padahal apapun yang telah & akan terjadi, anda tidak pernah akan kehilangan nilai di mata mereka yang mencintai anda, lebih-lebih lagi di mata Tuhan.

Jadi walau bagaimana kotor pun anda, kita masih mempunyai nilai yang tersendiri.

Sayangilah diri anda, bertaubat jika membuat dosa, terus berusaha jika gagal kerana diri kita sebenarnya amat berharga.

Dan jangan terlupa kita adalah makhluk Allah yang di pandang sama, hanya iman dan takwa yang membezakan kita.

...malaysiaria

Monday, November 8, 2010

Kuasa Beli Kita Merosot


KUALA LUMPUR 7 Nov. - Kerajaan diminta melihat secara serius kemerosotan kuasa membeli di kalangan rakyat Malaysia yang semakin membimbangkan di tengah-tengah kejatuhan dolar Amerika Syarikat (AS) , sedangkan penyusutan mata wang paling berpengaruh di dunia itu sepatutnya memberi faedah kepada nilai ringgit.

Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Bhd., Alsetdek Al Haj Ali berkata, ini kerana penurunan kuasa beli itu menjadi petunjuk kepada ketidak seimbangan ekonomi, kemajuan dan kemakmuran dalam sesebuah negara.

Beliau berkata, Malaysia menggunakan indeks inflasi yang terdiri daripada barangan kawalan dalam menentukan kestabilan ekonomi negara sedangkan kuasa beli adalah petunjuk sebenar.

Menurut beliau, secara rasionalnya apabila nilai ringgit meningkat, sepatutnya keupayaan untuk berbelanja di kalangan rakyat Malaysia lebih besar.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak berlaku, sebaliknya kemerosotan kuasa beli semakin terjejas sejak kebelakangan ini.

''Persoalannya mengapa rakyat kita tidak dapat menikmati kelebihan kenaikan nilai ringgit berbanding dolar AS dalam kuasa beli?.

''Jadi, mengapa kita perlu gembira apabila kejatuhan nilai mata wang, walhal nilai ringgit semakin tidak dirasai,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau berkata, tahap kuasa beli di Malaysia terlalu berbeza berbanding di Amerika Syarikat kerana sekurang-kurangnya rakyat negara itu masih berpeluang membeli lebih banyak barang di pasar raya walaupun nilai mata wangnya menyusut.

''Sepatutnya kuasa membeli di kalangan rakyat AS lebih sukar kerana mata wang mereka tidak memberi apa-apa makna, tambahan pula negara itu adalah negara pengimport tetapi mengapa mereka terus menikmati kuasa membeli?

''Jawapannya adalah model ekonomi negara itu jauh berbeza dengan Malaysia walaupun kita dalam proses ke arah itu.

''Di negara maju, lebih banyak rakyat berbelanja bagi barang tertentu, lebih murah harganya tetapi di Malaysia lebih banyak barangan tertentu dibeli, harganya boleh meningkat. Itu bezanya dan ia perlu diberi perhatian oleh kerajaan,'' katanya.

Sebab itu, katanya. rakyat Singapura masih boleh menikmati harga teh tarik S$0.80 secawan pada nilai mata wang mereka tetapi di Malaysia harga bagi minuman itu terus meningkat daripada RM1.00 kepada RM1.50 hingga RM1.80.

Singapura masih mampu mengekalkan nilai mata wangnya kerana strategi monetari negara itu yang meningkatkan dolar Singapura.

''Sebab itu, walaupun berlaku kenaikan dalam dolar Singapura, kuasa membeli di kalangan rakyatnya tidak terjejas, seperti di AS, tambahnya.

Berikutan itu, katanya, kerajaan perlu mengatasi masalah ini dengan segera kerana sekiranya dibiarkan ia boleh mengundang kepada ketidakstabilan ekonomi isi rumah tempatan.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya turut melakukan pemantauan barangan bukan kawalan yang sebenarnya menjadi barangan asas keperluan dapur, selain barangan kawalan.

Jelasnya, ia penting kerana barangan asas yang diperlukan untuk menjalani kehidupan seharian telah menunjukkan peningkatan melebihi 100 peratus.

''Kalau dibandingkan dengan tepung, berapa banyaklah yang digunakan oleh isi rumah berbanding keperluan seperti sabun mandi dan sabun basuh,'' ujarnya.

''Tiada ada gunanya kita bersorak kerana nilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar AS, jika nilai ringgit tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat.

Katanya, dengan pendapatan sebanyak RM3,000 dan tinggal di Kuala Lumpur, jumlah gaji itu sudah tidak memberi sebarang makna kepada pekerja.

Sebaliknya, dengan gaji tersebut, pekerja yang tinggal di Kuala Lumpur boleh dikategorikan sebagai penduduk miskin kerana kos hidup yang tinggi dan penyusutan kuasa membeli.

''Apa yang anda boleh beli dengan RM100 di pasar raya sekarang kerana harga ikan pun sudah berbelas ringgit untuk setiap kilo, begitu juga dengan sayur, hampir semua barang naik,'' katanya.


...Utusan Malaysia

Nafsu Amarah Gagal Dikawal Membinasa Diri


Amal ibadat boleh jadi ‘penawar’ untuk hati daripada dikuasai perasaan benci, dendam

PERASAAN dendam, benci dan amarah boleh menimbulkan pergolakan serta kekacauan dalam masyarakat kerana sikap mazmumah ini jika dibiarkan berakar umbi dalam jiwa akan menanamkan bibit perselisihan.
Islam agama yang berpaksikan kesejahteraan mendidik umatnya supaya menjauhi sifat tercela ini yang boleh menggugat hubungan ukhuwah. Benci diibaratkan api yang diam-diam menyala dalam sanubari apabila tidak mampu dikawal, maka lahirlah tindakan dan perlakuan beremosi.
Seorang sahabat pernah datang menemui Rasulullah SAW memohon supaya Baginda dapat memberi pesan serta wasiat ringkas. Jawab Baginda: “Janganlah kamu marah.” Diulang sekali lagi pertanyaan itu dan Rasulullah SAW tetap menyebut: “Jangan marah.”

Dalam menghadapi situasi kehidupan hari ini yang serba-serbinya mencabar, sifat marah jika sudah berada pada tahap melampau dan tidak mampu dikawal oleh pertimbangan akal serta agama, akan hanya membinasakan diri sendiri.

Sudah ramai yang dapat kita saksikan hari ini bagaimana sifat marah serta benci yang tumbuh dalam hati bertukar menjadi dendam kesumat yang diakhiri dengan tindakan kejam hingga memusnahkan kehidupan diri, keluarga dan masyarakat.
Justeru, tidak hairanlah mutakhir ini jenayah kejam seperti buli, mencederakan orang hatta membunuh semakin meningkat. Semuanya berpunca daripada gejolak hati yang marak mendidih tanpa dapat dikawal lagi.

Allah sentiasa mengingatkan hamba-Nya sentiasa menjaga hati supaya tidak termakan hasutan syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya perbuatan berbisik (untuk kejahatan) itu datangnya daripada hasutan syaitan.” (Surah al-Mujadalah, ayat 58)

Umat Islam terbaik adalah mereka yang menjaga perlakuan, lidah dan kalbunya daripada sifat tercela. Hati yang jernih dan bersih akan menampilkan akhlak indah serta terpuji. Masyarakat yang berhati luhur, bersopan santun serta mudah memaafkan akan melahirkan modal insan contoh.

Banyak cara yang boleh kita lakukan bagi menghindari sikap marah, dendam dan benci daripada terus bermaharajalela dalam hati dan nurani. Antara diajar Rasulullah SAW ialah melunakkan lidah dengan selawat, banyakkan berpuasa sunat, mengamalkan bacaan al-Quran supaya hati tenang dan tidak keluh kesah.

Selain itu, bagi meredakan kemarahan dan kebencian daripada terus bernyala, kita sepatutnya melihat daripada sudut positif seperti mengenang kembali kebaikan yang ada pada dirinya supaya berkurangan rasa marah dan benci dalam hati.

Kemampuan kita mengawal rasa dendam, marah dan benci yang bergelodak dalam jiwa menjadikan kita sebaik-baik manusia kerana Nabi Muhammad SAW selalu mengingatkan supaya bersedia untuk berjihad menentang hawa nafsu.

Ketika jenayah dan gejala sosial berleluasa dalam masyarakat di mana ramai menjadi mangsa perlakuan kejam serta ganas, masyarakat perlu menilai apa yang berlaku supaya dapat dijadikan iktibar.

Rasulullah SAW pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Saidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud.

Kemarahan dan perasaan dendam Baginda akhirnya dilembutkan Allah apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Nabi tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

Allah berfirman yang bermaksud: “Kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.” (Surah Ali-Imran, ayat 159)

Marilah kita mendidik diri supaya sentiasa berlembut hati, pemurah serta mudah memaafkan orang lain kerana itulah sifat Rasulullah SAW yang berjaya menarik ramai golongan Musyrikin yang keras, sombong dan degil hingga akhirnya mampu dijinakkan dengan kebenaran Islam.

...Nazri Hussein-Bharian